
TAMPIN – Seorang bayi lelaki, Wan Nur Alif Wan Arif Fadila, berusia sembilan bulan, disahkan meninggal dunia akibat tercekik berbola ikan ketika menikmati hidangan di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Cantik, dekat sini, pagi semalam. Menurut sumber, bayi tersebut dihantar ke Hospital Tampin (HT) yang hanya kira-kira 50 meter dari hospital berkenaan kira-kira jam 9 pagi selepas pengsan sebaik tercekik bebola ikan berkenaan. Bapa mangsa, Wan Arif Fadila Wan Yusof, 41, yang juga Pegawai Penerangan Daerah Rembau berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian itu daripada isterinya, Nur Azita Ibrahim, 31, sekitar jam 11.15 pagi. Menurutnya, dia amat terperanjat serta bergegas ke HT dan tidak dapat menahan perasaan sedihnya apabila melihat anak keduanya itu sudah pun pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. “Saya sangat sedih. Jururawat memaklumkan kepada saya setibanya anak saya di HT, badan anak saya sudah pun kebiruan akibat tidak dapat bernafas kerana tercekik berbola ikan. “Saya amat kesal dan susulan kejadian, saya membuat laporan polis di Balai Polis Tampin, kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam),” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan HT, semalam. Sinar Harian difahamkan, mayat bayi malang itu akan dibawa pulang ke Kampung Pulau Kerengga, Marang, Terengganu, sebaik selesai urusan jenazah oleh pihak HT. Tinjauan Sinar Harian di pekarangan HT mendapati kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, termasuk Pengarahnya, Hashim Bedu turut hadir menziarahi keluarga malang tersebut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat bapa mangsa dan polis membuka kertas siasatan dan akan memanggil pengusaha Taska berkenaan untuk memberi keterangan. Sinar Harian difahamkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut menjalankan siasatan berhubung kejadian dan berpandukan rekod JKM, walaupun Taska berkenaan lama beroperasi, pihak pengurusan baru saja memohon untuk didaftarkan dan kini sedang dalam proses permohonan.